(GAMBAR) Puting Beliung Di Sungai Baru, 33 Rumah Rosak

on Monday, November 12, 2012

Sebanyak 33 rumah rosak termasuk lapan daripadanya kritikal selepas dilanda putaran angin puting beliung yang muncul dari laut di pantai Telok Gong, Kuala Sungai Baru, di Alor Gajah, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, seorang warga emas, Hasan Olok, 70, meninggal dunia akibat terkena tempias angin puting beliung manakala dua lagi penduduk cedera terkena serpihan objek kayu zink yang runtuh.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Telok Gong, Mohd Ali Hanafiah Jamat berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang menikmati sarapan bersama keluarga sebelum dikejutkan bunyi angin kuat dan seperti objek disedut sesuatu.

“Keluar saja dari rumah saya lihat banyak kediaman penduduk sudah musnah, terutamanya di bahagian bumbung. Air hujan mula membanjiri rumah sementara penduduk berada di luar dalam hujan lebat,” katanya semalam.

Katanya lagi, dalam kejadian itu, seramai 165 penduduk termasuk bayi dari 33 rumah berkenaan ditempatkan di balai raya dan sekolah berdekatan untuk sementara waktu selain disediakan keperluan makanan dan minuman sehingga satu tempoh yang ditetapkan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, bantuan sumbangan akan dilakukan dengan segera bagi membantu keluarga mangsa puting beliung ini terutama keperluan makanan harian berikutan kerosakan bahagian dapur.
“Tinjauan yang dibuat mendapati hampir kesemua rumah penduduk yang menjadi mangsa puting beliung mengalami kerosakan teruk di bahagian dapur, selain lapan rumah yang mengalami kerosakan kritikal apabila keseluruhan sudut rumah musnah.

“Keluarga mangsa akan menerima sumbangan dari RM1,000 hingga RM3,000 bagi membaik pulih serba sedikit kerosakan yang berlaku selain perbelanjaan awal selepas hampir semua barangan termasuk pakaian habis musnah diterbangkan puting beliung.

“Keseluruhan kerugian dianggarkan lebih RM150,000 dan untuk sementara waktu ini keluarga mangsa akan di tempatkan di balai raya, namun ada antara mangsa kejadian yang memilih untuk tumpang di rumah saudara,” katanya yang turut berada di lokasi kejadian, pagi semalam.

Tambahnya, kerja-kerja menyelamat dan merawat serta pendawaian elektrik dibantu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah dan sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah serta anggota dari Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Turut meninjau keadaan, Pegawai Pejabat Daerah Alor Gajah, Datuk Idrus Md Jani; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Ar Ismail Othman; Pegawai Pertahanan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Leftenan Muda Hamdan Saad dan Ketua cawangan trafik Alor Gajah, Inspektor Mohd Zuki Abd Ghani.

Sekeluarga kepung bayi

Seorang bayi lelaki berusia 14 hari bersama ibunya yang masih dalam pantang sempat diselamatkan oleh anggota keluarga daripada disambar puting beliung.

Ketika kejadian, bayi berkenaan, Muhammad Farhan Adha Mohd Hirudin bersama ibunya, Nurshafikah Aimi Abdullah, 23, berada dalam bilik sebelum terdengar bunyi angin kuat luar biasa.

Datuk bayi terbabit, Mohd Lassim Bedol, 56, berkata, dia dan ahli keluarga lain sedang sibuk mengemas rumah.

“Kami terdengar deruan angin kuat disusuli bunyi seperti lori menurun pasir.

“Salah seorang anak kami beritahu yang puting beliung sedang membadai lantas kami sekeluarga berhenti mengemas rumah dan segera menerpa ke arah cucu yang sedang tidur dalam bilik hadapan rumah bersama menantu,” katanya.

Mohd Lassim berkata, dalam keadaan panik itu, mereka sekeluarga bertindak mengelilingi dan mengepung bayi itu kerana bimbang tercedera sekiranya terkena tempias puting beliung.

“Bunyi angin meranapkan atap rumah penduduk jiran berdekatan kedengaran jelas namun kami sekeluarga langsung tidak berganjak dan terus mengepung melindungi cucu yang sedang tidur lena hinggalah keadaan kembali reda.

“Bila keluar dari bilik, saya lihat habis atap zink rumah tercabut diterbangkan puting beliung sementara menantu terus bangun mendakap cucu dan bawa masuk ke dalam kereta yang turut rosak dihempap zink,” katanya.

Menurutnya, dia meminta menantunya membawa cucu ke rumah saudara bersebelahan untuk berlindung kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

“Kejadian berlaku sekelip mata dan kami hanya mampu berdoa. Tak sampai tiga minit habis semua barang dalam rumah musnah disambar puting beliung.

“Dalam hati kami sekeluarga hanya terfikir untuk selamatkan cucu,” katanya.

Sementara itu, Nurshafikah Aimi berkata, dia bersyukur kerana anak keduanya itu berjaya diselamatkan tanpa tercedera walau sedikit pun.

“Mujur bayi tidak apa-apa, menangis juga tidak semasa siling runtuh dengan hujan lebat. Syukur semua ahli keluarga selamat dan situasi berdepan detik cemas dalam pantang ini ternyata memberi satu kenangan buat saya,” katanya.

Seorang penduduk, Abd Rahim Abd Wahab, 42, yang menyaksikan sendiri angin puting beliung berkata, "sayamelihat air laut berpusar dengan asap tebal. Kemudian pusaran itu menuju ke rumah penduduk."

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 pagi ketika dia berada berhampiran pantai.

“Ada dua budak dalam usia 7 dan 8 tahun sedang leka memancing pada masa itu.

“Saya jerit pada mereka supaya segera pulang sambil berlari menyelamatkan diri dan berselindung di sebalik tembok rumah penduduk lain,” katanya yang sempat menyaksikan bagaimana puting beliung itu bergerak ke arah sebatang pokok besar kemudian menyedut atap zink rumah penduduk di sekitarnya.

“Bunyi angin menderu sangat kuat hingga menggegarkan rumah berdekatan dan saya lihat banyak perkakasan rumah penduduk berterbangan dalam putaran angin puting beliung itu diikuti hujan lebat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Salah seorang penduduk, Nurshafiza Ital, 21, berkata, ketika kejadian, dia berada dalam bilik bersama suaminya, Mohd Hafizul Arshad, 27, sebelum terdengar bunyi angin kuat.

“Saya terus keluar dari bilik dan panik melihat putaran angin puting beliung yang semakin menghampiri rumah kami selepas meranapkan rumah jiran.

“Saya berlari ke dapur dan menarik tangan ibu sebelum suami meminta berlindung di bawah singki,” katanya.

Nurshafiza berkata, dia, ibu dan suaminya bersembunyi di bawah singki dengan berlindungkan mesin basuh bagi mengelak tempias puting beliung.

“Kurang 10 saat, kami terdengar bunyi runtuhan kayu dari atap dan zink rumah dan berlaku gegaran seperti gempa bumi. Syukur ayah saya pulang dan membawa kami semua masuk ke dalam kereta,” katanya yang terpaksa berlindung di bawah singki hampir setengah jam sebelum ayahnya pulang.

Seorang lagi penduduk, Nurazira Abu Samah, 24, berkata, ketika kejadian dia sedang mendukung bayinya yang berusia 18 bulan.

“Dalam hujan lebat itu, saya kendong bayi dan berlari ke rumah jiran. Saya dapati mereka lima beranak sedang berpelukan di tepi dinding rumah dalam keadaan ketakutan. Di sana saya hubungi saudara datang untuk tolong selamatkan bayi yang kesejukan,” katanya.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© OneNewsHub All Rights Reserved