Filem Pilihan Tahun Baru Cina 2013

on Saturday, February 9, 2013

Anda tercari-cari hiburan di panggung wayang bersempena cuti Tahun Baru Cina ini? Mahukan sesuatu yang dapat menonjolkan kemeriahan sambutan Tahun Ular anda? Jangan bimbang kerana tahun ini, ada banyak pilihan buat anda yang memilih untuk berada di luar pada hari tersebut!

ONCE UPON A TIME (KANTONIS)

Demi menghasilkan filem yang bermutu, deejay My FM, Jack Lim telah menggunakan kos sebanyak RM4.6 juta berbanding bajet asalnya, RM3 juta untuk menghasilkan filem arahan Silver ini, jadi sudah tentu anda boleh menjangkakan produk yang hebat.

Filem Kantonis ini merupakan filem bergenre komedi mengenai seorang maharaja sebuah dinasti, yang bersama sida-sida dirajanya, telah termasuk ke dunia moden ketika cuba menyembunyikan diri di dalam sebuah kamar rahsia selepas diserang oleh sekumpulan pemberontak yang ingin menggulingkannya.

Ingat drama "The King Of Yesterday And Tomorrow" lakonan Kong Wah atau "Rooftop Prince" lakonan Park Yoo-chun? Filem tentang karakter lalu memasuki dunia moden sememangnya sentiasa menghiburkan.

THE WEDDING DIARY 2 (MANDARIN)

Sekuel kepada filem hit gandingan dua negara iaitu Singapura dan Malaysia, "The Wedding Diary 2" bermula dua tahun selepas perkahwinan Wei Jie (lakonan Aniu) and Zhixin (Elanne Kwong), dan kelahiran anak pertama mereka.

Konflik melanda apabila bapa mertua Wei Jie, Colin (lakonan Jack Choo) mengalami strok dan menyebabkan ketegangan dalam hubungan suami isteri tersebut apabila Zhixin perlu menguruskan perniagaan bapanya dan memastikan ibunya (lakonan Kara Hui) tidak dilanda kemurungan akibat tertekan dengan keadaan suaminya.

Sesuai untuk pasangan yang baru berumah tangga dan pertama kali meraikan sambutan Tahun Baru bersama mertua mereka!

HOTEL DELUXE (KANTONIS)

Raymond Wong, Teresa Mo, Sandra Ng - tiga nama sinonim dengan filem-filem Tahun Baru Cina kembali dengan sebuah lagi filem komedi berjudul "Hotel Deluxe", yang mengisahkan tentang sebuah hotel baru yang bertaraf lima bintang, "Hotel Seratus Bintang" yang dibina di Tasik Qiandao, Hangzhou.

Sekalipun dengan jenama lima bintangnya, ia diuruskan oleh sekumpulan pekerja yang tidak begitu cemerlang, termasuk Pembantu Pengurus, OK, Ketua Pelayan Bar, Pacino, Ketua Tukang Kemas, Peach dan Sammy si Penyambut Tetamu. Disebabkan hal tersebut, seorang wanita bernama Cruella telah dilantik menjadi pengurus baru dan cuba menaikkan nama hotel tersebut dengan menjadikannya lokasi penggambaran untuk sebuah filem berbajet besar. Masalahnya, dua pelakon wanita utama filem tersebut juga merupakan dua diva yang besar kepala!

Filem ini turut dibintangi Chapman To, Ronald Cheng, Fiona Sit dan Lynn Hung. Tapi kami percaya, nama Raymond Wong dan Sandra Ng saja sudah cukup untuk meyakinkan anda, bukan?

JOURNEY TO THE WEST (KANTONIS)

Tidak yakin dengan saranan yang ada? Bagaimana dengan nama Stephen Chow? Bintang komedi, penulis, pengarah dan penerbit tersohor itu kembali lagi selepas empat tahun menyepikan diri dengan filem terbarunya, "Journey To The West".

Kebaikannya? Filem ini filem Stephen Chow! Masalahnya? Stephen Chow memilih untuk tidak berlakon dalam filem ini dan menyerahkan tugas tersebut kepada pelakon-pelakon lain seperti Shu Qi, Zhang Wen, Chrissie Chau, Huang Bo dan bintang pop Taiwan, Show Luo. Mengapa? Kerana dia mahu memfokus kepada pengarahan, memandangkan dia telah menghabiskan selama tiga tahun cuba menyiapkan skrip filem ini.

Dalam filem pembikinan semula sastera Cina yang klasik ini, ia mengisahkan seorang sami Buddha, Xuanzang yang berhijrah dari China ke India dalam era Dinasti Tang untuk mendapatkan sutra suci. Dia turut diiringi tiga pengawalnya, Sun Wukong, Zhu Bajie dan Sha Wujing – selain seorang putera naga yang bertindak menjadi kuda Xuanzang.

I LOVE HONG KONG 2013 (KANTONIS)

Kenapa anda perlu menonton "I Love Hong Kong 2013"? Kerana francais "I Love Hong Kong" sudah menjadi tradisi Tahun Baru Cina sejak akhir-akhir ini. Kerana Eric Tsang yang cool telah berjaya meyakinkan simbol seks 90-an, Veronica Yip untuk kembali berlakon. Kerana bintang terkenal TVB, Bosco Wong dan Kate Tsui turut melakonkan watak utama dnan juga kerana Alan Tam masih menghiburkan di usia veterannya.

Dalam "I Love Hong Kong 2013", ia berkisar tentang pemuda naif Sung Chi Hung (Bosco Wong) bertemu si licik Ha Shek Lam (Michael Tse), yang membantunya mendapatkan pekerjaan di sebuah restoran masakan cina. Mereka berdua turut jatuh cinta pada anak pemilik restoran, Yeung Yeung (Kate Tsui). Sementara itu, rakan karib Yeung Yeung, Chu Yuk Yuen (Joyce Cheng) pula jatuh cinta pada Shek Lam. Dalam pada itu, Chi Hung dan isterinya pula menjadi pemilik baru restoran tua tersebut tetapi harus menghadapi Shek Lam yang mahu membeli restoran tersebut atas sebab tersendiri.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© OneNewsHub All Rights Reserved