LAHAD DATU: 10 Tentera Penceroboh Mati Ditembak

on Friday, March 1, 2013

Seorang jurucakap kesultanan Sulu mendakwa 10 orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh kesultanan Sulu di Lahad Datu pagi ini.

ABS-CBNnews melaporkan jurucakap Abraham Idjirani sebagai berkata dia baru bercakap sendiri dengan adik Sultan Sulu Jamalul Kiram – Azzimudie Kiram – yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu itu.

Azzimudie mengesahkan bahawa 10 lelaki terbunuh dan empat yang lain cedera dalam insiden tersebut.

“Dia melihat sendiri mayat-mayat tersebut,” kata Idjirani dalam satu sidang akhbar di Manila.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan berlaku insiden tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu tetapi menegaskan bahawa pasukan keselamatan Malaysia tidak melepaskan tembakan.

“Saya mengesahkan pasukan keselamatan kita tidak melepaskan walau satu das tembakan pun, sebaliknya ditembak pada 10 pagi ini!” katanya dalam mesej tweet tanpa menyebut sama ada operasi dijalankan untuk menahan penceroboh bersenjata itu.

Sementara itu, Hishammuddin memberitahu sidang media di sini bahawa Malaysia telah memberi tempoh sewajarnya untuk mengusir kira-kira 150 penceroboh itu supaya berundur dan pulang ke tanah air mereka.

Malah, beliau berkata Malaysia sudah banyak berlembut dengan memberi ruang secukupnya dalam beberapa siri rundingan dan kaedah diplomasi.

“Saya mengingatkan kumpulan penceroboh yang memasuki negara ini agar tidak menuduh Malaysia tidak beri waktu dan ruang secukupnya kepada mereka untuk berundur dari negara ini.

“Malaysia sudah banyak berlembut dengan cara rundingan dan diplomasi,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan Pergerakan Pemuda Malaysia Palestin di Jabatan Pertahanan Awam.

Menurut sumber pasukan keselamatan, operasi menahan penceroboh itu dipercayai dijalankan secara bersepadu melibatkan pasukan polis dan tentera termasuk Pasukan Gerakan Am, pasukan Komando 69 dan polis marin.

Keadaan di pekan Lahad Datu tegang dengan banyak premis kedai ditutup manakala penduduk pula tidak keluar dari kediaman masing-masing.

Pasukan keselamatan mula mengepung Kampung Tanduo pada 11 Feb lepas apabila kira-kira 150 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata menaiki bot pancung menceroboh ke perairan Malaysia pada 9 Feb dan menjadikan beberapa premis termasuk rumah dan surau di kampung itu sebagai pangkalan mereka.

Kampung Tanduo yang diduduki kumpulan itu terletak di kawasan terpencil, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu.

Kumpulan itu yang didakwa diketuai Agbimuddin Kiram mendakwa mereka adalah tentera ‘Raja Sulu’ dan menuntut Malaysia mengiktiraf Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu.

Sejak itu, Malaysia mengadakan beberapa siri rundingan dan menetapkan 22 Februari lepas sebagai tarikh akhir untuk pengusiran mereka.

Bagaimanapun Malaysia melanjutkan lagi tempoh pengusiran mereka kepada 26 Februari sementara menunggu sebuah kapal tentera Filipina tiba untuk membawa kumpulan penceroboh itu pulang ke tanah air.

Isnin lepas, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata polis akan bertindak berlandaskan undang-undang negara selepas mengambil kira pelbagai faktor bagi merungkai isu pencerobohan warga Filipina itu.

Hamza menegaskan pihaknya akan menggunakan undang-undang negara untuk mendakwa mereka yang kini dalam kepungan pihak keselamatan bagi memastikan tiada yang terlepas keluar dan tiada kemasukan orang yang tidak berkenaan ke kawasan itu.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© OneNewsHub All Rights Reserved